Apr 2, 2018

Trip Satu Hari Ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Lanchang, Pahang

Antara lokasi menarik yang boleh diterokai bersama anak-anak adalah di Pusat Konservasi Gajah, Kuala Gandah. Terletak di daerah Lanchang, Pahang. Jika melalui LPT, exit Tol Lanchang. Selepas itu ikut sahaja signboard. Lebih mudah guna aplikasi Google Map, search Kuala Gandah.

Aktiviti di sini bermula jam 1pm dan ke atas. Tayangan video berkenaan bagaimana gajah liar dijinakkan dan dipindahkan ke hutan simpan yang lebih selamat untuk habitat mereka. Melihat persembahan gajah menunjukkan beberapa skil mereka bersama 'mahout'. Ingatkan mereka panggil mahmud :), mahout adalah panggilan untuk pelatih gajah.


Mahout bersama gajah dalam pertunjukan ringkas. Jam 2 petang.

Kami sampai seawal jam 10 pagi. Terdapat papan tanda dan maklumat berkenaan di gajah. Ibu seronok membaca, anak sudah berlari masuk ke kolam hiasan yang belum siap. Masih dalam proses binaan. Ada tandas dan surau yang selesa. Selain itu, terdapat banyak kerusi rehat untuk pengunjung yang punya anak kecil macam kami. Boleh duduk sambil makan bekalan.

Ada cafe di dalam pusat ini. Harganya? Ibu tidak pasti kerana kami tidak makan. Cuma beli aiskrim untuk anak-anak. Harga aiskrim sama sahaja dengan kedai runcit di taman perumahan kami.


Ada kawasan yang kita boleh berikan gajah makan, makanan untuk gajah dijual pada harga RM2 - RM5. Mentang-mentang gajah kuat makan, sehari hampir 100kg makanan diperlukan untuk seekor gajah! Maka berkali-kali ulang beli makanan. Bayangkan berapa banyak makanan yang diperlukan untuk memastikan gajah-gajah di sini cukup makan. Kami dimaklumkan, kos makanan gajah sahaja lebih RM1,000 sehari.


Ada kawasan anak gajah, ada kawasan gajah dewasa. Di sini pelawat akan naik ke atas satu deck, jadi lebih mudah untuk berikan gajah makan di situ.

Tiada bayaran dikenakan setakat ini, pelawat hanya perlu mendaftar dan mendapatkan stiker untuk masuk. Ada borang sumbangan disediakan. Jadi terpulang kepada pelawat untuk memberi berapa sahaja sumbangan untuk proses memindahkan gajah atau memelihara dan memulihara gajah di pusat tersebut.

Rupanya, pelawat boleh meminta untuk dapatkan Tourist Guide sepanjang berada di pusat tersebut dengan bayaran RM50 untuk satu kumpulan. Harga termasuk gambar. Untuk maklumat lanjut boleh dapatkan di kaunter sebelah kaunter pendaftaran. Untuk mandi bersama anak gajah, ada bayaran tambahan diperlukan. RM5 untuk kanak-kanak dan RM10 bagi dewasa.

Antara momen indah anak-anak yang mereka akan ingat. 

Pusat dibuka jam 10 pagi dan tutup sekitar 4.30 petang.

Banyak maklumat berkaitan gajah ada di sini. Explore sepuasnya.



Terdapat taman haiwan (petting zoo) yang berdekatan, sekitar 2km. Kami tidak sempat singgah ke situ. Bawa anak kecil, tempat begini sesuai dilawati. Banyak juga maklumat berkitan gajah yang anak-anak dapat. Aiesyah, anak ke-2 ibu minta dia tuliskan blog berkenaan Kuala Gandah. Nanti dah siap, ibu kongsi linknya.

Satu gambar untuk rekod. Ibu dan Ammar tiada dalam gambar.

Jumpa lagi.

Wan Anie
Kuala Gandah
24 Mac 2018

Feb 21, 2018

Daftar Akaun Tabung Haji di ATM Maybank

Sebelum ini apabila hendak masukkan duit ke Tabung Haji kena pergi ke mana-mana pejabat Tabung Haji, isi borang deposit, ambil nombor, tunggu giliran dan ke kaunter apabila nombor dipanggil.

Ada masa kena cuti separuh hari hanya untuk ke Tabung Haji.

Jadi ini adalah berita baik kepada saya yang jarang ada masa untuk ke bank apa lagi Tabung Haji pada hari bekerja. Servis ini sudah lama, cuma saya yang baru tahu.

Jadi untuk rekod dan makluman kepada anda yang belum tahu bagaimana caa untuk masukkan duit ke Tabung Haji dengan hanya transfer sahaja menggunakan Maybank2U.


1. Daftar Tabung Haji di ATM Maybank

Ini langkah pertama yang kena buat, baru nombor Tabung Haji kita ada dalam M2U.

Caranya, pergi ke mana-mana ATM Maybank. Masukkan kad ATM kemudian masukkan no pin kita sendiri. Kemudian pilih Tabung Haji. Pilih Pendaftaran Akaun Dewasa, masukkan nombor akaun Tabung Haji kita. Selepas itu kena masukkan no siri Buku Tabung Haji pula.

Masa mula-mula nak daftar tak bawa buku, tergendala sebentar. Jadi untuk tidak membuang masa, bawa sekali no siri buku. Nak senang bawa buku terus. :)

Selesai.

Oh ya jika mahu daftarkan akuan anak sekali pun boleh, pilih Pendaftaran Akaun Kanak-Kanak. Akaun kanak-kanak yang mana kita menjadi penamanya. Masukkan no akaun TH dan No Siri Buku TH. Selesai.


2. Buka Maybank2U


Gambar kurang memuaskan, snap guna telefon sahaja.

Kemudian boleh login ke Maybank2U, lihat bahagian transfer, pilih Tabung Haji.

Boleh terus semak baki akaun Tabung Haji kita di sini. Pilih Balance Inquiry.

Inilah kemudahan yang kita perlukan iaitu Fund Transfer. Pilih Maybank to TH Own Account Transfer. Mudahkah setiap kali nak transfer masuk ke TH, klik sahaja.
Akaun anak yang didaftarkan juga akan tersenarai di sini.

Jangan pula keluarkan duit dari Tabung Haji jika tujuan kita daftar untuk penuhkan akaun TH.
Kawal perbelanjaan. Tangguhkan kepuasan. InshaAllah dipermudahkan.

Pendaftaran Haji juga boleh dilakukan di ATM Maybank atau menggunakan Maybank2U. Perasan tak menu ketiga, Hajj Registration. Mudahkan. Tidak perlu lagi buang masa, tenaga dan duit bayar parking untuk ke Tabung Haji.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Saya doakan urusan kita yang belum lagi mengerjakan Haji dipermudahkan. Amin.

Oct 8, 2017

Usahawan Bermula Dari Usia Kecil

Hari usahawan sekolah merupakan platform yang bagus untuk memperkenalkan anak pelajar dengan asas bisnes. 

Pada hari ini, setiap kelas ada gerai jualan sendiri. 

Guru bersama pelajar akan tentukan kelas mereka akan jual apa. Katakan sandwich. 

Berapa banyak yang hendak dijual? 

Apa bahan mentah yang kita perlukan? 

Berapa kos yang diperlukan sebagai modal awal? 

Berapa harga sandwich yang kita akan jual? 

Anak ada maklumkan bahawa gerai yang mendapat kupon paling banyak menjadi juara. 

Kupon terbanyak itu maksudnya apa? 

Jualan tertinggi. 

Dunia usahawan bukanlah hanya jualan yang paling banyak. 

Kita lihat gerai mana yang mendapat perhatian pelanggan dari sudut khidmat pelanggan, gerai mana yang punya usp tersendiri. 

Tahun lepas ada pelajar yang memakai apron datang ke meja ibu bapa yang sedang duduk berbual dan menikmati makanan, mereka menunjukkan barang jualan dan mula buat promosi. Inisiatif yang bagus. Lain daripada gerai-gerai yang lain. 

Selepas selesai sesi, lihat berapa jualan yang diperoleh. Dari jumlah itu tolak semua perbelanjaan, lihat untung atau rugi. 

Jualan -  perbelanjaan = Untung / Rugi

Kita percaya sekiranya setiap tahun anak pelajar didedahkan dengan perkara ini, kefahaman dan minat mereka terhadap bisnes akan tertanam. Boleh dicungkil bakat bisnes yang ada pada sesetengah pelajar. 

Ada pelajar yang pandai khidmat pelanggan, ramai yang suka beli dengan dia. 

Ada pelajar yang cekap menyusun atur ruang dan menyediakan bahan. 

Ada pula yang bijak mengira sesuai di bahagian kaunter. 

Akan datang, kita boleh sediakan platform yang sesuai sepanjang tahun untuk usahawan cilik mengembangkan bakat mereka. Bukan hanya di hari usahawan sekolah sahaja. Melalui media sosial, blog dan bahan penulisan atau hari usahawan cilik setiap negeri. 

Beberapa tahun akan datang anak remaja dan anak muda lebih memonopoli bidang ini mengikut arus zaman. Orang lama dan veteran menjadi mentor dan guru sahaja. 

Usahawan bermula dari usia kecil

Wan Anie

Bermula online ke offline kembali online. 

May 23, 2017

Bahasa Anak Kecil

"Ibu,  tengok ni"

Seorang anak kecil berusia tiga tahun berlari mendapatkan ibunya yang sedang sibuk mencabut rumput di laman.

"Ibu, Ammar pandai ambil ni. Ammar lompat macam ni"

Beriya anak itu menceritakan kejayaan kecil yang baru dilakukan sambil menghulur tangan yang kemas memegang sebiji buah nona berwarna ungu. Sambil melompat sedikit beraksi seperti apa yang berlaku sebentar tadi.

"Buah ni belum masak lagi"

"Ibu, buka ni,  nak makan ni"

"Belum masak keras lagi ni." Ini jika diperam pun tidak masak. Masih muda. Sangat muda.
Anak tadi menggigit buah yang dipegangnya, dengan muka sedikit kelat, dia mengiyakannya.
 
"Keras lagi ni,  belum masak lagi. Kita simpan dulu."

Pagi esoknya semasa ibu sibuk sediakan makanan di dapur. Si Ammar datang lagi membawa buah nona semalam.

"Ibu, masak ni nak makan"

Anak ini ingat buah ni belum masak di pohon boleh pula dimasak di atas dapur.
 
Tengahari itu berulang lagi. Ibu pula yang pening macam mana hendak terangkan.


Ada idea?


Esoknya selepas mendapat beberapa maklum balas daripada rakan facebook, ibu memotong dua buah tersebut.

"Cuba lihat ini"

"Keras!"

"Ya, masih muda untuk diambil dari pokok. Selepas ini kena tunggu sudah masak dan lembut baru boleh petik"

"Ok"

Oh nasib baik anak cuma mengiyakan, jika tidak perlu bersoal jawab lagi.


Tinta Ibu Wan Anie
Banyak belajar daripada anak

May 12, 2017

Jurnal Ramadan: Bagaimana Kami Bermula

Kisah kami bermula pada 2015. Tiga tahun lepas.

Kami bermula dengan idea bagaimana menanam nilai kefahaman anak-anak berkenaan Ramadan.
Kami menjadi rujukan ibu bapa dan guru apabila menceritakan tentang Ramadan kepada anak.

Bukan itu sahaja, kami menjadi bahan penghibur dan pelengkap ketika waktu lapang terutama semasa menunggu berbuka.

Tahun pertama kelahiran, kami tidak cantik mana. Sekadar cukup dengan isi dan kulitnya.

Kami faham bahawa apabila kita mahu mulakan sesuatu, jangan tunggu sehingga sempurna. Mulakan dahulu dengan apa yang ada.

 Wajah kami pada tahun kedua
Tahun kedua, wajah dan isi kami semakin menarik. Orang kata kami menjual diri kami sendiri. Apabila ada yang melihat pasti tertarik mahu memiliki. Cetakan 4000 habis tidak sampai 3 minggu.


Wajah kami pada tahun ini

Namun kami tidaklah bermegah diri. Semuanya ciptaan Tuhan belaka. Idea yang datang kepada pereka desain dan konten semuanya anugerah.

Tahun ketiga, semuanya semakin baik. Konten yang lebih padat. Maklum sahaja, penyumbang konten adalah daripada As-Shura Institute of Quranic Sciences atau singkatannya ASIQs.

Pereka desain kami daripada ABS Edu Creative.


Mahu dapatkan kami? Klik sahaja ke EduMall atau klik SINI.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails